Mukadimah

Kerana Kita Umat Akhir Zaman

MUKADIMAH

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

TandaKiamat.com merupakan sebuah laman blog yang dibangunkan untuk menjadi medium pembacaan berkaitan akhir zaman – kiamat – akhirat. Para pembaca akan melihat tanda-tandanya berlaku tanpa disedari dalam kehidupan seperti peristiwa biasa. Kehidupan di akhir zaman ini sudah pasti tidak jauh dari peristiwa-peristiwa akhir zaman yang sudah pasti berlaku.

Percaya kepada hari Kiamat termasuk dalam salah satu rukun iman yang enam. Nabi Muhammad SAW telah menyampaikan perihal terjadinya hari Kiamat dalam khutbah yang pertama di bukit Safa. Ia menunjukkan bahawa pengetahuan tentangnya sangat penting diketahui umat manusia tetapi mereka tetap tidak memerhatikan.

Dalam surah al-Israa’, ayat 44 Allah berfirman segala sesuatu yang berada di bumi ini sentiasa bertasbih kepadaNya. Sesungguhnya mereka memperbanyakkan tasbihnya pada hari Jumaat kerana takut akan berlaku Kiamat pada hari itu kecuali jin dan manusia.

Hadis sahih yang diriwayatkan Abu Daud dalam Sunannya, Rasulullah SAW bersabda:

Tidaklah ada satu binatang melatapun dimuka bumi ini melainkan ia cemas ketakutan menanti berlaku Kiamat pada hari Jumaat ini ketika masuk waktu subuh sehingga terbitnya matahari, kecuali jin dan manusia.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

Sebaik-baik hari di mana matahari terbit ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam AS diciptakan. Pada hari itu Adam AS dimasukkan ke dalam syurga dan di hari itu juga Adam AS keluar dari syurga, dan tidaklah terjadi hari Kiamat kecuali pada hari Jumaat.

Dalam hadis yang lain, “Pada hari itu (Jumaat) terjadi tiupan sangkakala dan pada hari itu terjadi kebinasaan semua makhluk.” Maka pada hari Jumaat akan berlaku peristiwa hari kiamat dan tiupan sangkakala kedua pada hari kebangkitan. Dua peristiwa besar ini belum terjadi dan ia pasti akan terjadi seperti dalam ilmu Allah SWT.

Wallahu A’lam

METODOLOGI

  1. Fokus penulisan TandaKiamat.com adalah termasuk urusan ghaibiyyat salah satu asas keimanan.

  2. Bersumber daripada wahyu al-Quran dan al-Hadith al-Sahihah sahaja.

  3. Penulisan setiap artikel dimulakan dengan pengenalan sesuai dengan tajuk, kemudian didatangkan ayat al-Quran atau pun teks hadis-hadis.

  4. Dan penulis menghuraikan secara ringkas (Ta’liq) bukan Syarah yang lengkap serta diakhiri dengan menyatakan pengajaran.

  5. Turut disediakan rujukan dan nota hujung sumber.