Fitnah Fahaman Quraniyyun

Kerana Kita Umat Akhir Zaman

[metadata element=”date,author” ]

Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang tiada keraguan. Sumber rujukan kedua tertinggi selepas al-Quran adalah hadis. Kedua-dua sumber ini perlu selari dan saling melengkapi antara satu sama lain. Ia telah disepakati oleh semua ulama dahulu sehingga sekarang kecuali golongan anti hadis (Quraniyyun) yang menolak hadis. Perselisihan golongan yang menolak hadis sebagai sumber tidak mempunyai asas.

Fahaman Quraniyyun berpegang dengan menggunakan al-Quran sahaja yang menurut mereka hanya al-Quran sebagai sumber sesuatu dan mempertikaikan kedudukan hadis sebagai sumber hukum. Mereka meragui status hadis dari sudut periwayatannya yang dikatakan telah berlaku penyelewengan. Sedangkan sistem periwayatan hadis melalui cara yang sama sebagaimana al-Quran iaitu daripada Nabi SAW kepada para sahabat dan seterusnya sehinggalah pada hari ini. Jika penerimaan sumber hanya al-Quran sahaja, pasti tidak akan ada yang dapat memahami dan mentafsirkan isi kandungan al-Quran sepenuhnya.

Tidak dinafikan hal yang berkaitan dengan hadis sangat penting untuk memastikan kesahihan sesuatu hadis. Status hadis yang disandarkan kepada Nabi SAW tanpa periwayatan sanad yang sahih merupakan pendustaan ke atas Baginda. Tetapi penyelewengan golongan ini bukan setakat meragui perihal status hadis, malah fahaman mereka turut menafikan perkaitan Rasulullah SAW dengan agama Islam melainkan peranan seorang Rasul hanya menyampaikan ayat-ayat al-Quran kepada umat manusia.

Sejarah hidup Baginda sepanjang 23 tahun kenabian seolah-olah tidak bermakna sedangkan apa yang datang melaluinya adalah sunnah ataupun hadis melalui perkataan (qauliyyah), perbuatan (fi’iliyyah), dan perakuan (taqririyyah) Nabi SAW. Fahaman Quraniyyun yang kononnya menerima sepenuhnya al-Quran sebenarnya tidak pun memahami kandungannya. Buktinya adalah al-Quran itu sendiri terdapat ayat yang menyebut supaya taat kepada Rasul seperti taat kepada al-Quran1Surah an-Nisaa’, ayat 59: “Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah…” dan ayat 80: “Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah…” . Jelas gambaran pada diri Rasulullah SAW itu menjadi sumber rujukan yang melaksanakan hukum yang terdapat dalam al-Quran.

Firman Allah dalam surah al-Nahl, ayat 44 yang bermaksud:

(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.

Baginda yang diutus dengan memiliki sifat benar dan dipercayai tidak bercakap mengikut hawa nafsunya2Firman Allah dalam surah an-Najm, ayat 3 dan 4: “Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” melainkan menyampaikan kebenaran melalui percakapan yang benar sahaja. Kesesatan golongan anti hadis telah pun dinyatakan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis.

Daripada Miqdam bin Ma’dikariba RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas kerusi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka dia berkata, ‘Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (al-Quran). Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan, dan apa yang diharamkan oleh al-Quran kami haramkan… Sedangkan apa yang diharamkan oleh Rasulullah samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Keterangan hadis ke enam dalam 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam, berkata; “Pada hakikatnya, golongan ini tidak percaya kepada al-Quran dan juga hadis, kerana orang yang mendustakan salah satu daripada kedua-duanya sama sahaja dengan mendustakannya. Sebenarnya, kita tidak akan dapat memahami al-Quran jika tidak kembali kepada hadis Nabi SAW. Ini disebabkan al-Quran banyak menyebutkan garis-garis besar ajaran Islam dan dalam bentuk yang umum, manakala hadis pula berfungsi untuk menjelaskan isi dan kandungan ayat-ayat al-Quran tersebut serta merungkaikan segala permasalahannya yang rumit secara terperinci.”

Kaitan Hadis Sebagai Hujah Kepada Al-Quran

Hadis merupakan hujah dalam semua perkara berpandukan isi kandungan al-Quran. Kedua-duanya adalah bersumberkan yang sama iaitu; al-Quran mempunyai makna dan lafaz daripada Allah SWT, manakala hadis maknanya daripada Allah dan lafaznya daripada Rasulullah SAW. Terdapat banyak perkara syariat dalam al-Quran diterangkan dalam hadis untuk memahami dan mengamalkannya. Antara contohnya:

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 230 yang bermaksud:

Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula)…

Dengan mengambil zahir daripada ayat al-Quran, hukum berdasarkan kefahaman Ibnu Musayyib berkata, “Boleh rujuk kepada suami pertama hanya dengan akad suami kedua berdasarkan firman Allah.” Boleh jadi Ibnu Musayyib berpendapat sebegini kerana tidak sampai kepadanya hadis yang menerangkan maksudnya. Telah berkata Ibnu Abdil Barr, “Aku fikir tidak sampai kepadanya hadis ini atau hadis yang sampai kepadanya adalah tidak sahih disisinya.”

Daripada Aisyah berkata, telah datang isteri Rifa’ah kepada Nabi SAW kemudian berkata, “Ketika aku berada di samping Rifa’ah, dia telah menceraikan aku dengan talak tiga, kemudia aku berkahwin dengan Abdul Rahman bin Zubair dan dia tidak mampu mencukupkan keperluan batinku.” Rasulullah SAW tersenyum, kemudian bersabda,

“Adakah kamu mahu kembali rujuk kepada Rifa’ah? Tidak boleh, sehingga kamu merasai manis madunya dan dia merasai manis madu kamu.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Daripada Aisyah dia ditanya seorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki kemudian diceraikan dengan talak tiga, kemudia dia berkahwin dengan seorang lelaki yang kemudiannya menceraikannya tanpa sempat bersetubuh. Adakah boleh kembali rujuk dengan suami pertama? Rasulullah SAW bersabda,

“Tidak boleh, sehinggalah lelaki itu merasai madu perempuan itu.”

Dalam riwayat yang lain disebut, “Tidak boleh, sehingga suami baru itu merasai manis madu kamu sebagaimana dirasai suami yang pertama.” Terdapat tiga riwayat hadis yang berbeza-beza dari segi lafaznya, tetapi membawa maksud yang sama. Ibnu Munzir berkata, “Ijmak para ulama mensyaratkan bersetubuh dengan suami kedua untuk dihalalkan isteri itu kembali kepada suami pertama.”3Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (467/9).

Ayat al-Quran yang umum, maka hadis diperlukan untuk menerangkan isi kandungan al-Quran supaya ianya jelas. Contoh hadis melalui perbuatan yang menjelaskan al-Quran.

Firman Allah dalam surah an-Nuur, ayat 56 yang bermaksud:

Dan dirikanlah kamu akan solat…

Rasulullah SAW bersolat dan kemudian bersabda, “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”

Kesimpulan

Golongan Quraniyyun atau anti hadis ini menterjemah dan mentafsirkan ayat al-Quran mengikut akal mereka sendiri. Terjemahan dan tafsirannya tanpa bersandar kepada hadis kerana kebenaran dalam hadis langsung tidak diimani mereka walaupun dapat dibuktikan kebenarannya. Akal yang lemah dan terbatas membuktikan golongan yang wujud di sepanjang zaman ini sebenarnya hanya mengikut kehendak nafsu sahaja.

Cetusan idea golongan ini yang berfahaman al-Quran telah lengkap dan sempurna, maka mereka menolak sumber hadis. Hakikatnya, Agama Islam yang mengikut syariat Nabi Muhammad SAW tidak hanya mengambil hujah al-Quran semata-mata, kerana hujah dari al-Quran itulah yang akan diterangkan melalui hadis.

Nota Hujung   [ + ]

1. Surah an-Nisaa’, ayat 59: “Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah…” dan ayat 80: “Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah…”
2. Firman Allah dalam surah an-Najm, ayat 3 dan 4: “Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”
3. Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (467/9).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *